Dari segi agama dan kepercayaan

Dari segi agama dan kepercayaan, masyarakat Arab Jahiliyah menganut pelbagai bentuk kepercayaan seperti menyembah berhala, animisme, samawi dan sebagainya pada zaman jahiliyah atau zaman kegelapan dahulu. Hal ini kerana mereka tidak menerima kebenaran nabi dan rasul serta tidak ada nabi sebagai petunjuk kehidupan. Pada zaman sekarang pula, masyarakat kurang kefahaman atau kepercayaan terhadap agama Islam dan tidak memegang agama yang kukuh. Mereka tidak terasa bersalah atas kelakuan negatif mereka kerana tidak takut atas dosa Tuhan. Sebagai contoh, kes-kes kanak-kanak perempuan dibunuh dan menanam bayi perempuan yang terjadi di zaman jahiliyah dahulu masih berlaku pada zaman globalisasi ini. Bayi dibuang di dalam pam tandas, di belakang kedai, tong sampah, kebun kelapa sawit. Kes seperti ini sudah menjadi fenomena biasa pada masa kini. Hal ini telah menunjukkan masyarakat kini tidak memegang agama yang kukuh dengan mempercayai insan atau manusia adalah makhluk yang dicpta oleh Tuhan. “Manusia yang mesti kita bangunkan pada hari ini ialah manusia yang tidak melupakan penciptanya, tidak terpengaruh dengan keindahan dunia serta menindas orang lain demi kepentingan diri dan keutamaan harta” titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan, Khatam Hafazan Al Quran dan majlis berbuka puasa Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) pada tahun 2018. Baginda juga menjelaskan bahawa umat Islam perlu berusaha memahami al-Quran yang menekankan konsep keimanan dan ketaqwaan hanya kepada Allah swt. kerana pengetahuan Islam sebenar adalah asas kekuatan sebagai umat Islam.